Thursday, 3 July 2014

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Teks: Nor Azizah Khazizi

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah buat pengunjung blog yang dirahmati Allah. Terima kasih atas kunjungan kalian di blog ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana setelah sekian lama berhajat untuk berblog, tetapi baru kali ini Allah memberi keizinan dan kekuatan untuk menulis dan berkongsi di sini. Terima kasih buat Akademi Bekerja Dari Rumah kerana telah memberi inspirasi untuk menghasilkan blog seperti ini.

Sebelum  meneruskan coretan ini,  terlebih dahulu biarlah saya memperkenalkan diri. Bak kata orang-orang tua kita ‘tak kenal maka tak cinta’. Saya diberi nama Nor Azizah Binti Khazizi, berasal dari Pekan, Pahang dan membesar di Kuantan. Selepas tamat pendidikan rendah, bermulalah kehidupan saya berjauhan dari keluarga. Saya bersekolah asrama di Negeri Sembilan dan kemudian melanjutkan pelajaran di UKM atau spesifiknya Hospital UKM di dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan. Setelah menamatkan pengajian saya memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan pelatih (Housemanship) di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Tamat latihan sebagai doktor pelatih, saya mendirikan istana bahagia dengan suami tersayang. Alhamdulillah, sehingga sekarang kami dikurniakan 4 orang cahayamata penyeri rumahtangga yang semuanya dilahirkan secara pembedahan caesarian .

Kelelahan dan keletihan ditambah dengan keperitan serta kesakitan di bahagian perut semasa sedang sarat mengandungkan anak ketiga membuatkan saya rasa tidak mampu menjalankan tugas sebagai seorang doktor hospital yang ada kalanya ber- “oncall” dan kecemasan, lalu keputusan dibuat untuk berhenti dan menarik diri  dari meneruskan pengajian sarjana. Keputusan tersebut  saya lakukan setelah berbincang dan mendapat keizinan dan restu suami tercinta. Kebetulan pada masa itu, beliau juga sedang melanjutkan pelajaran di bidang Ijazah Sarjana. Saya menceburi bidang perniagaan dengan membuka klinik sendiri hanya selama lebih kurang setahun setengah sahaja. Selepas tamat  pengajiannya, suami ditakdirkan bertugas di negeri kelahiran saya. Beliau terpaksa berpindah tempat kerja dan meninggalkan saya bersama anak-anak yang masih kecil.  Kesukaran yang dilalui ditambah pula saya sedang mengandung anak yang keempat  membuatkan saya tepaksa mengambil keputusan untuk menutup sahaja klinik tersebut dan berhijrah ke Kuantan mengikut suami. Selepas berpantang pada akhir tahun 2010, saya meneruskan karier kedoktoran saya di sebuah klinik swasta di Kuantan.

Sebenarnya saya tidak pernah merancang untuk menceburi dunia perniagaan.  Di dalam keluarga saya tidak ramai yang menceburi bidang bisnes. Jadi tiada faktor yang kuat atau ikon keluarga untuk saya jadikan contoh dan memulakan perniagaan sendiri secara serius. Ditambah pula kesibukan semasa belajar dan kemudiannya bekerja kurang mendedahkan saya kepada dunia luar terutama dunia bisnes. Namun saya cuba juga berjinak-jinak berniaga setelah berhenti dari penjawat awam (doktor hospital kerajaan).  Bermula dengan menjual produk kesihatan, saya lakukan secara sambilan sahaja di samping menjalankan klinik. Setelah 2 tahun berniaga sambilan (sekejap timbul sekejap tenggelam) timbul keazaman dan minat saya untuk menjalankan perniagaan secara serius. Saya mengambil inisiatif dengan belajar ilmu perniagaan seperti mengikuti kursus Dr Azizan Osman dalam Kursus Advanced Marketing pada hujung 2011. Di sana saya bertemu dengan seorang pengusaha makanan lalu saya melibatkan diri dengan perniagaan makanan pula. Semasa itu saya sudahpun berpindah ke Kuantan dan bekerja dengan sebuah klinik swasta di sini. Namun atas masalah tertentu perniagaan saya ini hanya bertahan seketika sahaja.

Oleh kerana minat dan keazaman untuk berjaya dalam perniagaan masih kuat, saya tidak berputus asa untuk mencari perniagaan yang lebih sesuai dengan jiwa. Di samping itu saya belajar berniaga online dengan membeli cd-cd dan ebook pemasaran internet. Pada awal tahun 2013, saya bermula semula dengan menjual kain pasang cotton. Saya mendaftar untuk menjadi stokis online dengan sebuah syarikat pembekal kain. Perniagaan ini merupakan titik bermulanya saya secara serius di dalam perniagaan. Di samping kain pasang, saya juga menjual baju kurung dan tudung labuh secara online dan offline.

Memandangkan masih bekerja, agak sukar untuk saya menguruskan perniagaan secara online dan offline (membuka booth perniagaan di pasaraya). Jadi saya memilih untuk berniaga secara online sahaja untuk memudahkan pengurusan. Tambahan pula suami saya membuat latihan subkepakaran yang memerlukan beliau meninggalkan kami sekali lagi selama setahun setengah membuatkan saya merancang untuk berhenti kerja apabila perniagaan agak stabil dan freelance sahaja bagi menumpukan perhatian kepada anak-anak dan keluarga. Bagi merealisasikan impian, saya berusaha untuk menambah ilmu dengan berguru dengan beberapa orang sifu internet untuk memantapkan pengetahuan di dalam pemasaran online antaranya ialah Irfan Khairi dan Wazeen Azizan. Saya tidak mahu lagi mengulangi kegagalan-kegagalan yang lalu, jadi saya beriltizam untuk menjadi seorang peniaga online yang berjaya dengan memiliki ilmu. Di kelas Irfan Khairi inilah lahirnya idea menjenamakan Radiant Rumaisa’ dan menjuruskan bisnes lebih kepada tudung labuh. Alhamdulillah dengan ilmu yang dipelajari di kelas-kelas ini, saya mempraktikkannya dan ia menunjukkan perubahan yang ketara dalam bisnes. Insya Allah selain tudung dan selendang labuh, saya bercita-cita untuk mempelbagaikan lagi produk di Radiant Rumaisa' ini.

Kembali kepada kisah saya, akhirnya pada hujung tahun 2013, saya nekad berhenti kerja dan freelance sahaja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga dan bisnes. Walaupun ada waktunya saya dipanggil bertugas di klinik, namun waktunya lebih selektif iaitu pagi sahaja. Saya sangat bersyukur dengan keputusan tersebut apabila melihat anak-anak gembira dan mereka pun lebih terurus. Saya juga gembira melihat bisnes tudung lebih teratur dan berkembang sedikit demi sedikit.  Semakin hari saya makin bersemangat untuk meneruskan bisnes ini dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dengan ilmu sama ada melalui pembacaan mahupun kelas-kelas percuma dan berbayar.

Bertemu dengan Puan Normi Yusof di alam maya membuatkan saya tertarik untuk mendalami   ilmu tentang penulisan blog terutamanya berkaitan perniagaan.  Jadi saya mendaftarkan diri di Akademi Bekerja Dari Rumah di bawah seliaan beliau. Matlamat saya dari kelas ini adalah supaya saya dapat memahami dan mendalami asas penulisan dan penghasilan blog yang berkesan dan berjaya menjenamakan produk dan membina kredibiliti melalui blog ini. Di samping itu saya sangat teruja untuk mengenali insan-insan yang telah berjaya  dan membina ukhuwwah dan networking dengan mereka.

Begitulah serba sedikit pengenalan dan coretan dari saya untuk kali ini. Insya Allah kita bertemu lagi di catatan yang lain.

No comments:

Post a Comment