Assalamualaikum wbt dan Salam Ukhuwwah..
Gambar yang saya kongsikan di sini adalah gaya anakanda puteri saya Rumaisa' sebaik sahaja tudung Nadra Exclusive sampai. Sekarang umurnya sudahpun 4 tahun lebih. Sejak birthdaynya yang keempat memang saya agak konsisten melatihnya untuk memakai tudung. Sebaik sahaja tudung-tudung Nadra Exclusive untuk kanak-kanak ini sampai, dia sangat teruja dan tidak sabar-sabar membuka bungkusan tudung tersebut. Dengan perasaan gembira dia memilih tudung untuk dirinya sendiri. Sudah tentu tudung yang ada warna pink menjadi salah satu pilihan hatinya. :)
Semasa umurnya 3 tahun saya baru saja memperkenalkan tudung kepadanya, dan memang mentah-mentah ditolaknya. Pelbagai alasan yang keluar dari mulutnya katanya panaslah, gatallah, nanti kepala Maisa' sakitlah. Kadang-kadang memang rasa nak ketawa tetapi perasaan sedih dan bimbang lebih menguasai hati dan fikiran saya bila mendengar alasannya. Saya menjadi sedih kerana memikirkan saya agak terlewat untuk melatihnya menutup aurat.
Saya juga gusar kerana saya sebagai ibunyalah penyebab dia tidak menutup aurat kemudian hari nanti. Padahal dalil kewajipan untuk menutup aurat itu sudah termaktub di dalam Al-Quran. Antaranya ialah:
Surah Al-Ahzab Ayat 59:
يَا
أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu
serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang
baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan
(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kebimbangan itu saya suarakan pada suami yang kebetulan pada masa itu baliknya jarang-jarang sahaja ke rumah kerana sedang menyambung pengajiannya. Suami menenangkan saya dan mengajak saya sentiasa berdoa untuk kebaikan anak-anak dan supaya anak-anak mudah dilentur dan menjaga aurat.
Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar rintihan dan permintaan hambaNya. Kita hanya berusaha tetapi Allah jualah yang menggerakkan hati mereka. Saya sangat bersyukur dan gembira kerana sejak 2 bulan ini Rumaisa' sudah pandai meminta tudung apabila keluar rumah atau pergi berjalan-jalan. Jika tiada tudung dia akan menangis dan pastinya mulutnya yang petah berbicara akan mula membebel. Terima kasih Allah.
Moga anakanda Rumaisa' satu-satunya puteriku ini akan menjadi anak yang solehah yang sentiasa menjaga auratnya, yang menjaga adab dan tingkahlakunya. Ameen. Alhamdulillah juga sebab abang-abangnya yang 3 orang lagi pasti akan memberi ingatan padanya dan selalu menggalakkanya memakai tudung.
![]() |
Rumaisa' bersama ayah serta abang-abangnya |
Di sini saya ingin berkongsi sedikit ilmu berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya yang cetek ini berkenaan tips dan cara untuk memupuk anak-anak bertudung dan menutup aurat.
1. Ibu Role Model Terbaik
Untuk mendidik anak menutup aurat, kita sendiri sebagai ibu hendaklah memastikan diri kita sendiri menjaga dan menutup aurat dengan sempurna. Antaranya adalah seperti mengelakkan memakai pakaian ketat dan memakai tudung labuh menutup dada apabila adanya bukan muhrim di rumah atau apabila keluar dari rumah.
2. Pemilihan Tudung Yang Selesa Serta Pakaian Yang Sopan dan Menutup Aurat Sejak Kecil
Memilih tudung yang sesuai dan selesa untuk si anak. Carilah tudung yang ringkas tetapi cantik. Melatih sejak kecil dengan pemilihan pakaian yang sesuai yang tidak menjolok mata. Bagi anak saya sendiri, sejak umurnya 4 tahun ini saya hanya membelikan tshirt berlengan panjang sahaja kepadanya.
3. Penjelasan dan Ilmu
Menceritakan secara berhikmah mengapa perlunya menutup aurat dan menanamkan rasa malu. Boleh diceritakan secara ringkas dan logik sahaja dahulu untuk permulaan.
4. Galakan dan Pujian
Sentiasa memberi kata-kata galakan dan pujian kerana bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga suka dirinya dipuji. InsyaAllah mereka akan sentiasa bermotivasi untuk memakai tudung. Selain itu boleh hadiahkan tudung-tudung yang comel, cantik dan selesa untuk dipakai serta kejutan-kejutan hadiah yang lain sebagai ganjaran dan dorongan kepada mereka.
5. Doa dan Pengharapan
Kita sebagai ibubapa perbanyakkanlah berdoa dan mengharap padaNya supaya anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Berdoa semoga Allah memudahkan urusan kita dalam mendidik anak-anak malah dalam segala urusan kebaikan untuk dunia dan akhirat.
Moga perkongsian pada kali ini dapat memberi manfaat pada kita semua. Mungkin banyak lagi cara-cara lain yang lebih baik, boleh ditambah baikkan. InsyaAllah.
Wallahua'lam.
Jika ada di antara pengunjung sekalian yang berminat dengan koleksi tudung kanak-kanak yang dipakai Rumaisa' boleh klik di sini
No comments:
Post a Comment